BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, January 7, 2010

Isu Kalimah Allah: Rayuan tidak selesai kontroversi kalimah Allah - Mahathir


Langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan tidak akan menyelesaikan kontroversi ekoran keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penerbitan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penyelesaian tidak boleh dicapai menerusi mahkamah kerana ia hanya mengutamakan maksud undang-undang dan tidak mengambil kira sama ada sesuatu perkara itu sensitif atau tidak.

“Undang-undang tidak mengambil kira soal sensitif atau tidak sesuatu perkara atau soal mencetuskan ketegangan dan permusuhan antara penganut agama berlainan. “Undang-undang mengutamakan maksud undang-undang sahaja,” kata beliau dalam entri terbaru di blognya, www.chedet.co.cc hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam berkata, pihaknya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya kira-kira pukul 4 petang semalam.

Pada 31 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly. Hakim itu memberi alasan gereja tersebut berhak berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Dr. Mahathir, pendapat Kabinet ketika kontroversi itu mula tercetus ketika beliau menjadi Perdana Menteri ialah penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil adalah perkara yang sensitif.

“Perkara sensitif seperti ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya merujuk kepada undang-undang.”Sebagai perbandingan, agak mudah dirujukkan perkataan ‘kaum pendatang’ kepada mahkamah, tetapi ia adalah sesuatu yang sensitif yang tidak dapat diselesaikan oleh undang-undang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir melahirkan kebimbangan berhubung kesan buruk daripada keputusan Mahkamah Tinggi itu. “Di dalam Kristian terdapat konsep Trinity yang mana terdapat God the Father, God the Son and The Holy Ghost. “Jika terdapat dalam kitab Injil atau syarahan dalam bahasa Melayu berkenaan ‘Allah sebagai Bapa, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci’ maka tentulah ini akan ditentang oleh orang Islam.

“Dalam Islam, Allah tidak ada bapa, tidak ada anak. Ia tidak dilahirkan dan Ia tidak melahirkan sesiapa. Allah hanya satu. Ia tidak boleh disekutu dengan sesiapa,” tegasnya. Tulis beliau lagi, di Amerika Syarikat, orang Kristian yang sudah tidak teguh iman biasa berkata dan menulis, God is dead (Tuhan telah mati). “Apakah perasaan orang Islam apabila ini diganti dengan Allah is dead (Allah telah mati)?” katanya.

Dr. Mahathir turut mempersoalkan kenapa hanya sekarang kalimah Allah hendak digunakan sedangkan selama ini tidak pernah kedengaran orang Kristian di Semenanjung Malaysia menggunakan perkataan itu apabila bercakap berkenaan God dalam bahasa Melayu.

Beliau juga menasihatkan kerajaan supaya berhati-hati dalam menangani isu kontroversi berkenaan supaya Malaysia yang berbilang agama dan aman ini tidak menjadi tegang serta tidak stabil secara berterusan.

0 comments: