BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, June 1, 2009

LuQmAn NulHaKIm BerBicaRA...

NASIHAT LUQMANUL HAKIM

Akhlak adalah soal yang sangat perlu dititikberatkan dalam didikan ibu dan bapa kepada anak-anak. Antara yang perlu disenaraikan ialah bagaimana cara komunikasi yang baik antara mereka dan orang–orang di sekeliling. Tiada siapa yang suka dirinya dijerit-jerit. Hati mana yang tidak perit bila dihambur dengan nada suara yang kuat sedangkan dia masih boleh mendengar dengan baik dan bukannya tuli.Kisah Luqmanul Hakim telah disebut di dalam al Quran bila mana beliau menasihati anaknya sebagaimana:

Firman Allah SWT yang bermaksud :"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." ( Surah Luqman ayat 19).

Kerana itu juga, para anbiya’ diperintahkan Allah agar berlemah lembut dalam dakwah mereka sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”. ( Surah Ali Imran ayat 159)

Demikian juga saranan Allah SWT kepada Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s ketika berdepan dengan kezaliman Fir'aun."Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." ( Surah Taha ayat 44 )


JANGAN AH! OH!“ Kimi, tolong mak angkatkan kain di ampaian luar ye. Nampaknya hari nak hujan," kata seorang ibu kepada anaknya yang sedang asyik mengadap PS2.“ Ah! Mak ni. Tak Nampak orang tengah sengit ‘berperang’ ni,” bantah si anak tanpa sedikit pun menoleh memandang wajah ibu.Hati ibu mana yang tidak sedih bila mendengar anak menjawab dengan perkataan ah! Oh! dan seumpamanya. Jiwa ibu mana yang tidak pedih melihat anak yang diasuh dan dibelai sedari kecil bersikap acuh tak acuh dan kurang ajar kepada dirinya. Semua ini berkait adab dan nilai budi yang diajar di dalam Islam betapa sependek perkataaan ah! dan oh! saja sudah cukup menjatuhkan seorang anak kepada lembah kedurhakaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”


“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." ( Surah Al-Isra' ayat 23-24 )
Islam mengajar umatnya berbudi bahasa terhadap orang lain terutama kepada kedua orang tuanya yang telah banyak berjasa mengasuh, membesar dan mendidik anak-anak. Sikap suka meninggikan suara, mengherdik dan mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati mereka adalah amat dilarang oleh agama dan disenaraikan sebagai perbuatan yang membawa kepada dosa besar.


Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud :“Sebesr-besar dosa (dosa besar) ialah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada ibu bapa dan menjadi saksi palsu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


Perlu diingat bahawa dosa menderhakai ibu dan bapa akan dibalas oleh Allah di dunia lagi dengan azab yang pedih dan menyeksakan.“Semua dosa ditangguhkan oleh Allah (seksaannya) mana-mana yang dikehendaki-Nya sehingga ke hari kiamat, melainkan dosa kerana menderhaka kepada dua ibu bapa.
Maka sesungguhnya Allah akan segerakan seksaan dan azab ke atas pelakunya ketika hidupnya, sebelum mati.” (Hadis riwayat Thabarani dan Hakim)


0 comments: